Niat dan cita-cita untuk menjadi insan salih dan beramal salih melalui
apa juga kerjaya diceburi boleh mencetuskan semangat motivasi serta terapi
hati dalam mengejar matlamat kesejahteraan dunia dan akhirat.
Setiap kali kita bekerja, pahatkan dalam hati bahawa kerja hari ini adalah untuk
pelaburan hari akhirat kelak.
Namun, ia tidak akan menjadi pelaburan akhirat jika tidak diniatkan serta
diusahakan dengan memenuhi standard sebagai amal soleh.
“Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal salih,
maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka.” ali-Imran, ayat 57
Amal salih adalah amal yang dilaksanakan mengikut piawaian akhlak
seperti ikhlas, teliti, jujur, amanah, tekun, cekap serta mengikut piawaian
syarak, diusahakan daripada sumber yang halal dan membawa manfaat.
Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik harta ialah harta yang baik kepunyaan
orang yang baik”. (Riwayat Imam Ahmad)
Kurang kerenah birokrasi
Usaha
untuk mengurangkan kerenah birokrasi juga satu amal salih kerana
selain bertujuan memudah dan mempercepatkan proses urusan,
ia juga dapat mengelakkan pelanggan menggunakan jalan pintas atau
mengamalkan suapan, rasuah dan penipuan untuk mencapai hasrat dengan mudah.
Begitu juga langkah mempercepatkan masa menunggu giliran,
menyediakan kaunter pertanyaan dan perkhidmatan mencukupi,
menyediakan perkhidmatan khas kepada golongan kurang upaya,
warga emas dan ibu hamil serta menggantikan pegawai bercuti panjang.
Mengurangkan prosedur kerja yang panjang dan rumit,
menyediakan tempat berurusan selesa, bersih dan selamat,
memudahkan pengisian borang, penyaluran maklumat permohonan
secara dalam talian, memberikan maklumat urusan dengan jelas,
tepat dan mencukupi juga antara amal soleh.
Bekerja dengan matlamat menjadi insan salih dan beramal salih
memberi manfaat yang dahsyat kepada pekerja.
Ia meliputi antaranya tujuh implikasi iaitu pertama,
disempurnakan dan diberi ganjaran pahala.
Firman Allah SWT: “Adapun orang yang beriman dan mengerjakan
amal salih, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka.
”(Surah ali-Imran, ayat 57)
Elak kerja sia-sia
Kedua, mengelakkan kerja
menjadi sia-sia ibarat debu yang berterbangan dan tidak menjadi
pelaburan akhirat. Abu Hurairah, katanya,
“Aku dengar Rasulullah SAW bersabda mengenai beberapa
orang yang mengerjakan amalan tetapi sia-sia pada hari akhirat.
Antaranya meliputi sumber yang haram dan tidak jujur.
”
Firman Allah SWT: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam
kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan berpesan-pesan
kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.
” (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Ketiga, menjadi terapi hati apabila
merasa letih, penat dan putus asa terhadap kerja.
Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beriman dan beramal
salih maka tiada ketakutan bagi mereka dan tiada pula
mereka merasa sedih.”
Kelegaan daripada sifat takut dan
sedih ini lahir daripada keyakinan hati terhadap balasan setiap
amal soleh akan dilihat serta dihitung oleh Allah SWT.
Firman-Nya: “Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan)
bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.
Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan
(kepadanya pada Hari Kiamat kelak).
Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.
” (Surah al-Najm, ayat 39-41)
Keempat, mendapat kehidupan yang baik.
Implikasi ini sesuai dengan tuntutan untuk mengamalkan budaya
kerja cemerlang bagi mendapatkan hasil dan output berkualiti.
Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih sama
ada lelaki mahupun perempuan dan dia beriman, maka Kami akan
memberikan kehidupan yang baik baginya dan Kami akan berikan
kepada mereka ganjaran yang lebih baik daripada amalan mereka.”
(Surah al-Nahl, ayat 97)
Kelima, dikasihi majikan dan rakan.
Dengan memenuhi piawaian akhlak dan syarak,
pastinya kerja itu bukan saja diterima di sisi Allah SWT tetapi
juga manusia yang berurusan di sekeliling kita.
Keenam,
menjadi contoh dan sumber inspirasi dalam membentuk budaya amal
salih kepada yang lain. Sabda Rasulullah,
“Seorang Mukmin itu adalah cerminan bagi Mukmin yang lain.”
(Riwayat al-Bukhari)
Buka pintu rahmat
Ketujuh, membuka pintu
rahmat Allah SWT. Sabda Rasulullah: “Allah SWT merahmati
orang yang bertolak ansur ketika menjual, bertolak ansur ketika membeli,
bertolak ansur ketika mengadili dan bertolak ansur ketika
meminta pengadilan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Semua implikasi ini akan menjadikan kita pekerja yang dedikasi,
berdaya tahan lagi ceria melaksanakan tugas.
Sebagai pedoman buat diriku..
No comments:
Post a Comment